Dalam sehari, sekiranya dikumpulkan kesemua gandum yang digunakan oleh manusia, ia boleh membuat roti seberat tiga buah bangunan Empire State Building di New York itu. Dalam sehari, 16.5 juta manusia menyambut hari jadi mereka. Juga, dalam sehari, tin minuman yang dibuang di Amerika Syarikat sahaja boleh membuat 16 pesawat DC-10!. Fakta menakjubkan ini dikumpulkan oleh Russel Ash yang sebelum ini menyusun The top 10 of everything dan Incredible Compararisons.
Seperti biasa, penerbit buku ini, Dorling Kindersley, menyediakan ilustrasi yang menawan selain fakta yang sememangnya menakjubkan. Lagi pula fakta yang dihidangkan cukup relevan dengan kita.
Tidak banyak dari kita yang berfikir selama ini berapa banyakkah pasangan negara China yang berkahwin setia jati (26,000). Atau berapa banyak panggilan telefonkah yang dibuat rakyat AS (2.3 bilion, 230 juta panggilan jarak jauh dan 6 juta panggilan antarabangsa, selebihnya panggilan tempatan). Berapa banyakkah anggota tentera di Rusia? (1.3 juta orang).
Mana satukah negara yang paling banyak pertambahan penduduknya setiap hari? China? Salah! Jawabnya India. Setiap hari 46 418 orang ditambah pada pendidikan sebanyak 952 juta. China walaupun mempunyai 1.2 bilion penduduk hanya menambah 32 684 orang setiap hari.
Tahukah anda, daripada 10 buah negara yang mencatatkan pertambahan penduduk paling banyak, empat daripadanya negara Islam? Indonesia yang menambah 11 129 orang setiap hari pada penduduk sejumlah 207 juta menduduki tempat kedua selepas China.
Pakistan di tempat keempat selepas Indonesia (9508 orang bertambah setiap hari bagi penduduk 129 juta). Bangladesh yang mempunyai penduduk 123 juta menambah 6186 orang rakyat berada di tempat ke 7 sementara Iran tempat kelapan dengan pertambahan 1 945 orang setiap hari bagi penduduk 66 juta.
Tahukah anda jumlah makanan segera yang ditelan oleh rakyat AS dalam sehari? Jawabnya 7 juta piza, 4000 tan cip, 15 juta burger, 15 juta liter aiskrim dan 250 juta Coca-cola. Berapa banyakkah beras yang dimakan oleh manusia di seluruh dunia? 1.5 juta tan atau cukup untuk membuat 6 piramid besar di Mesir.
Anda mahu tahu berapa banyakkah orang yang gilakan golf di dunia? 28 juta orang. AS mendahului sebagai negara yang paling banyak pemain golf (18 juta orang) diikuti oleh Jepun (8 juta).
Berapa banyakkah kenderaan persendirian dan komersial di dunia? 660 juta buah. Sekiranya kesemuanya bergerak sekali menuju ke bulan, ia akan menjadi lebuh raya enam laluan yang padat. Sekiranya semua pasport yang diperiksa di semua jalan masuk ke semua negara di dunia dalam sehari disusun, jumlahnya boleh berdiri lebih tinggi dari Gunung Everest.
Bercakap tentang kekurangan ayam. Dalam sehari, sebenarnya 70 juta ekor ayam disembelih di seluruh dunia. Pada waktu yang sama 654000 ekor lembu terkorban, begitu juga 1.2 juta ekor kambing biri-biri dan 2.8 juta ekor khinzir untuk dijadikan makanan manusia.
Dalam sehari 1.2 bilion surat dihantar oleh manusia. Sekiranya disambungkan ia boleh menjadi jambatan yang merentangi Lautan Atlantik.
Bercakap tentang liputan TV. Perkahwinan Putera Charles dan Puteri Diana pada 29 Julai 1981 ditonton oleh 750 juta manusia di seluruh dunia. Kematian Diana ogos tahun lalu memecahkan rekod itu apabila 1 bilion manusia daripada 180 negara menyaksikan upacara pengembumiannya secara langsung melalui TV.
Lihat sahaja fakta mengenai tubuh badan manusia. Sekiranya seorang manusia mengambil masa 5 minit untuk menggunakan tandas, dan sekiranya terdapat hanya sebuah sahaja di dunia, tandas itu akan digunakan tanpa henti selama 57000 tahun.
Berita buruknya ialah najis yang dikeluarkan oleh tubuh manusia di dunia dalam sehari ialah satu juta tan atau cukup untuk memenuhkan sebuah Stadium Merdeka. Berita baiknya ialah sekiranya semua kandungan hidrogen yang dikeluarkan dalam bentuk angin dari tubuh manusia boleh dikumpulkan, ia boleh digunakan untuk menggerakkan 13 buah kapa udara Hindenburg.
Sekali lagi, di tengah kegawatan ekonomi ini, buku mudah, malah sebenarnya disasarkan pada kanak-kanak seperti ini, sepatutnya menjadi bahan bacaan santai. Mungkin juga penawar bagi menghilangkan rasa gundah akibat kejatuhan ringgit dan pasaran saham.
16 Februari 1998
By Johan Jaaffar dalam Nota Kaki
0 comments:
Post a Comment